Khamis, 18 Jun 2009

Sesejuk Pagi Jumaat


Bagi Negeri Terengganu,hari Jumaat merupakan cuti umum dan pada hari inilah biasanya saya berpeluang untuk sarapan bersama keluarga sama ada di rumah ataupun di kedai...tetapi hari saya terpaksa meninggalkan aktiviti mingguan itu kerana menghadiri "Kursus Asas Mengendali Blog" yang dianjurkan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Medan Info Desa Alor Limbat.Kursus ini sebenarnya telah pun bermula pada 17hb Jun yang lepas dan bakal berakhir pada 19hb Jun iaitu pada jumaat.Saya hanya berpeluang mengikuti kursus ini pada 18hb - 19hb Jun sahaja kerana pada 17hb,saya tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan..
Walaupun hanya mampu hadir selama 2 hari ke kursus ini,insyaAllah tunjuk ajar dan pengalaman yang diperolehi sepanjang menjalani kursus ini akan digunakan dengan sebaik mungkin...

Rabu, 17 Jun 2009

Gejala Ponteng Sekolah



Ponteng Sekolah

Laporan salahlaku pelajar sekolah menunjukkan bahawa ponteng sekolah dan ponteng kelas merupakan salahlaku yang tertinggiperatus penglibatan di kalangan pelajar.

Ponteng sekolah dan ponteng kelas merupakan perlakuan yang menyalahi peraturan sekolah dan jika pelajar dibiarkan ponteng sekolah dan ponteng kelas sehingga menjadi amalan dan tabiat, ianya boleh membawa kesan negatif terhadap diri pelajar sendiri, keluarganya dan juga sekolah. Seterusnya perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran dan yang paling dikhuatiri mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan negatif.

3.
Ada dua faktor utama yang menyebabkan para pelajar melakukan ponteng iaitu faktor sekolah dan faktor luar sekolah. Faktor luar sekolah pada kebiasaannya di luar kawalan sekolah untuk menanganinya. Sungguhpun begitu, disamping tugas kita memberi tumpuan kepada faktor di dalam sekolah usaha yang lebih berkesan kepada kedua-dua faktor tersebut perlu dilakukan.

4.
Surat Pekeliling ini adalah bertujuan mengingatkan semua Pegawai Pendidikan Bahagian/Daerah, Pengetua, Guru Besar dan guru-guru mengenai tindkan-tindakan yang perlu diambil bagi membanteras salahlaku ponteng di sekolah terutamanya ponteng sekolah dan ponteng kelas. Kementerian Pendidikan telah pun menerbit dan mengedarkan ke sekolah-sekolah Bku Panduan Mengatasi Masalah Ponteng Di Sekolah. Saranan dan cadangan yang dikemukakan dalam buku tersebut diyakini boleh membantu pihak sekolah mencegah berlakunya masalah ponteng.

5.
Seterusnya, bagi memastikan TIADA Salahlaku Ponteng di kalangan pelajar, langkah-langkah berikut hendaklah dilakukan:


5.1
Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Bahagian/Daerah hendaklah mengesan kadar ponteng sekolah dan ponteng kelas setiap bulan dan memastikan sekolah melakukan usaha mengatasi masalah tersebut.

5.2
Pihak sekolah hendaklah memastikan tindakan mengatasi masalah ponteng dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Segala panduan yang terdapat di dalam Buku Panduan Mengatasi Masalah Ponteng dilaksanakan sepenuhnya.

5.3
Pihak sekolah hendaklah merealisasikan Sekolah Penyayang, pelajar-pelajar berhak disayangi, dikasihi, dan dibimbing. Dengan ini pelajar akan terpikat, terpanggil dan tergerak untuk ke sekolah.

5.4
Memastikan Briged Komuniti dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya sama ada di peringkat Negeri, Bahagian/Daerah dan sekolah.

5.5
Memastikan bahawa Jawatankuasa Disiplin Sekolah atau Lembaga Tatatertib sentiasa proaktif dengan menggariskan program dan aktiviti yang berupaya mencegah salahlaku ponteng sejak awal-awal lagi terutamanya sebelum sesi persekolahan bermula.

Si cilik minat nak tahu gaji PM



PUTRAJAYA: “Rahsia,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berseloroh ketika seorang kanak-kanak bertanyakan gaji diperoleh beliau sebagai Perdana Menteri pada majlis Hari Kanak-kanak Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) di Sri Satri, semalam.

Najib yang sebelum itu menghadiri majlis rasmi lain di ibu negara, sempat meluangkan masa lebih satu jam untuk meraikan lebih 400 kanak-kanak yang terdiri anak yatim, anak memerlukan bantuan khas, kanak-kanak Permata Negara, kanak-kanak Tunas Harapan dan Tunas Budaya.

Selain berpeluang bertanyakan soalan, kanak-kanak terbabit beramah mesra dengan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lebih menarik, Perdana Menteri turut menunjukkan bakat nyanyian apabila mendendangkan lagu ‘Young Ones’ diiringi Rosmah dan anak mereka, Nooryana Najwa di atas pentas.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Kehormat Bakti, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi Lion Parkson Corporation Berhad, Puan Sri Chelsia Cheng dan Pengarah Eksekutif Berjaya Coproration Berhad, Datuk Robin Tan.

Beberapa syarikat korporat turut bermurah hati menaja majlis berkenaan termasuk Yayasan Lion Parkson, Berjaya Foundation Berhad, Anakku Sdn Bhd, Nestle Products Sdn Bhd Hwa Tai Industries Bhd, Hwa Thong Bag Industries Sdn Bhd, KFC Berhad dan Wall’s Ice Cream Berhad.

Selain itu, beberapa artis popular seperti Aznil Nawawi, Farah AF2, Dafi, Syed Sobri dan Azie turut diundang menghiburkan tetamu.

Terdahulu Rosmah berkata, Hari Kanak-kanak Bakti diadakan selaras objektif Bakti menggembleng tenaga dan usaha ahli menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

“Sejak dulu lagi sudah menjadi kebiasaan Bakti menyambut hari istimewa ini bagi meraikan anak yatim dan kurang upaya.

“Namun, sejak akhir ini program seumpama ini tidak dilaksanakan dan kali terakhir diadakan pada Disember 2006 di mana Bakti menganjurkan Hari Kanak-Kanak sempena Global Indian Film Awards (Gifa),” katanya.

Pada masa sama, Rosmah berkata ibu bapa dan guru perlu memastikan pembangunan modal insan anak-anak diterapkan dengan menanam nilai murni, disiplin, moral dan nilai sosial yang positif dalam diri mereka.

6,804 pelatih PLKN terlepas hukuman


Seramai 6,804 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang gagal melaporkan diri sejak program itu diperkenalkan pada 2003 akan terlepas daripada hukuman penjara dan denda, sebaliknya mereka hanya dikenakan khidmat masyarakat maksimum 240 jam.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata ini berikutan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008,

Katanya, keputusan itu akan dapat menghapus kebimbangan ibu bapa berikutan bentuk hukuman sedia ada, selain dapat meningkat jati diri dan kesedaran pelatih terhadap masyarakat.

"Ia penambahbaikan terhadap program itu sejak lima tahun pelaksanaan. Tetapi saya tidak pasti bila khidmat masyarakat akan dilaksanakan. Ia perlu dibentang di Dewan Negara terlebih dulu sebelum diwartakan," katanya.

Dewan Rakyat meluluskan cadangan pindaan rang undang-undang itu bagi menghapus hukuman penjara dan denda terhadap pelatih yang ingkar dan diganti dengan khidmat masyarakat.

Peruntukan undang-undang sebelum ini menyatakan pelatih yang ingkar boleh dipenjara maksimum enam tahun atau denda sehingga RM3,000, jika sabit kesalahan.

Abdul Hadi berkata, mereka yang ingkar dan selesai menjalani hukuman itu tidak diberi sebarang pengecualian, sebaliknya perlu menghadiri program berkenaan.

"Tiada pengecualian," katanya yang menyifatkan perbahasan di Dewan Rakyat selama dua hari berkaitan cadangan pindaan itu sebagai positif dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 62,225 pelatih yang meminta penangguhan tidak dikenakan hukuman itu, sebaliknya bakal mengikutinya pada masa depan.